JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan 19 kematian dengan 2,041 kes kemalangan jalan raya sepanjang lapan hari Op Selamat Siri Ke 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. dalam satu kenyataan berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan 154 kes atau 8.16 peratus berbanding Op Selamat 13/2018 yang mencatatkan 1,887 kes.
“Bagi kemalangan maut, sebanyak 18 kes dicatatkan dengan 19 kematian berbanding 18 kes dan 20 kematian pada Op Selamat 13/2018.
“Daripada jumlah berkenaan, jalan bandaran menunjukkan kadar kemalangan paling tinggi iaitu sebanyak 891 kes atau 43.7 peratus diikuti jalan Persekutuan dengan 448 kes atau 21.9 peratus, jalan negeri 347 kes atau 17 peratus, lebuh raya 185 kes atau 9.1 peratus dan lain-lain jalan 170 kes atau 8.3 peratus,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya percaya 15 punca kemalangan antaranya melibatkan gagal mengawal kenderaan sebanyak mencatatkan 653 kes atau 32 peratus, mengekori terlalu rapat sebanyak 405 kes (19.8 peratus), terbabas 222 kes (10.8 peratus), kecuaian keluar atau masuk simpang (239 kes atau 11.7 peratus).
Faktor lain katanya, termasuk pemandangan kabur atau tidak menyedari objek di hadapan sebanyak 115 kes atau 5.6 peratus, cuba memotong atau ubah haluan, 104 kes (5.1peratus), leka atau letih dan mengantuk, 55 kes atau 2.7 kes,” katanya.
Menurutnya, bagi kes kemalangan maut mengikut jenis jalan, jalan Persekutuan mencatatkan enam kes atau 33.3 peratus, lebuh raya lima kes (27.8 peratus), jalan bandaran empat kes (22.2 peratus), jalan negeri dua kes atau (11.1 peratus) dan lain-lain satu kes atau 5.5 peratus.
Katanya, daripada 19 kematian dicatat, 14 kes membabitkan motosikal, tiga kes membabitkan kereta dan satu kes pejalan kaki.
“Lima daerah menunjukkan kes kemalangan tertinggi iaitu Johor Bahru Selatan 454 kes, Johor Bahru Utara 290 kes, Batu Pahat 232 kes, Seri Alam 200 kes dan Iskandar Puteri 190 kes.
“Penambahan kenderaan yang banyak di jalan raya, jaringan jalan raya yang tidak dapat menampung pertambahan kenderaan, sikap pemanduan yang tidak berhemah serta kurang kemahiran dalam pengendalian kenderaan adalah punca kemalangan meningkat manakala faktor cuaca pula menjadi faktor utama mendorong kepada kemalangan terbabas sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











