KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan badan induk itu tidak wajar dipersalahkan dalam isu tunggakan gaji selama dua bulan bagi musim 2019 membabitkan bekas kapten The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, persatuan itu tidak terlibat dalam usaha membawa masuk semula pemain tersebut ke pasukan Kelantan.
Menurutnya, ia dilakukan oleh KRW Sdn. Bhd melalui jaminan MyInspiration Sdn. Bhd dan Mohd Badhri tidak berhak untuk membuat tuntutan keatas KAFA.
“Berpandukan kontrak, gaji Piya akan dibayar oleh KRW Sdn. Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn. Bhd.
“Bila KRW tidak boleh bayar gaji, jaminan untuk berbuat demikian adalah dari MyInspiration dan kontrak itu telah dimeterai sendiri oleh pemain terbabit.
“Bagi saya Piya tidak boleh meletakkan kesalahan 100 peratus di atas bahu KAFA,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan Piya.
Utusan Online semalam melaporkan perancang terkenal dengan hantaran ‘gelembung buaya’ (hantaran lambung mengelirukan) itu melabelkan bekas majikannya KAFA sebagai zalim apabila enggan enggan mengeluarkan surat pelepasan atau Sijil Perpindahan Negeri (SPN) bagi membolehkannya menyarung jersi Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC).
Bibi Ramjani memberitahu, tuntutan itu sepatutnya diajukan kepada MyInspiration Sdn. Bhd yang merupakan penjamin kepada Syarikat Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd ketika kontrak tersebut dimeterai.
Ujarnya, bekas Kapten Kelantan itu sepatutnya memahami segala isi kandungan kontrak sebelum menurunkan tandatangan.
Sebelum ini, arena bola sepak Kelantan mungkin berada di ambang kemusnahan apabila My Inspiration Sdn. Bhd. membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan Kelantan yang dimeterai dengan KAFA.-UTUSAN ONLINE.











