SEPANG – Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad tetap mendedikasikan kejayaannya memenangi pingat perak acara recurve individu lelaki dalam Kejohanan Dunia 2019 di Belanda baru-baru ini kepada Allahyarham bapanya, Mohamad Said yang meninggal dunia tiga tahun lalu.
Pemanah dari Kemaman itu berkata, dia menyifatkan kehilangan ayahnya, yang meninggal dunia akibat komplikasi hati pada umur 60 tahun, sebagai satu hikmah dalam perjalanan kariernya, sehingga mampu mengharumkan nama negara.
“Sebelum ayah saya meninggal dunia, dia ada pesan ‘kalau sertai mana-mana kejohanan kemudian tewas, jangan cepat mengalah’.
“Bagi saya pingat ini juga untuk didedikasikan kepadanya. Ayah saya meninggal sehari sebelum puasa. Kemudian semasa bulan puasa tahun 2016, kami (trio recurve lelaki) layak ke Sukan Olimpik di Brazil.
“Selepas itu pada bulan Syawal 2017 kami menang gangsa dalam kejohanan Piala Dunia di AS (Amerika Syarikat ). Seterusnya gangsa di Piala Dunia 2018 juga di AS, dan kali ini perak Kejohanan Dunia. Saya fikir ada hikmah disebalik setiap kejadian,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pemanah berusia 28 tahun tersebut mengakui tugasnya masih belum berakhir meskipun layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo kerana mahu membantu recurve berpasukan lelaki menempah tiket ke temasya berprestij itu.
Empat tahun lalu, skuad memanah negara yang diketuai Khairul Anuar, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin layak beraksi ke Olimpik Rio selepas menewaskan Jerman 6-2 dalam pusingan playoff kejohanan kelayakan di Antalya, Turki.
Kejayaan itu membolehkan pasukan memanah recurve lelaki negara melakar sejarah layak ke temasya Olimpik buat kali ketiga berturut-turut. – UTUSAN ONLINE











