GOMBAK – Polis Diraja Malaysia meminta spekulasi berkenaan penahanan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dihentikan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, perkara tersebut hanya akan menganggu siasatan pihak polis.
“Saya yakin pihak polis akan menahan Jho Low dalam masa terdekat.
“Saya enggan mengulas isu ini, tetapi yang penting kami telah tahu lokasi dia, jadi bersabar dan bagi kami masa,” katanya pada sidang akhbar selepas Kempen Jom Balik Kampung Ops Selamat 15 di Plaza Tol Gombak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan Jho Low.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hamid berkata bahawa pihaknya mempunyai petunjuk baharu kedudukan Jho Low dan dijangka akan ditahan tidak lama lagi untuk dibawa pulang ke tanah air bagi berdepan tindakan undang-undang. – K! ONLINE










