SEREMBAN – Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek menyerahkan kepada peguamnya berhubung langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mendapatkan semula wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa disalurkan kepadanya secara salah.
Hasan yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, beliau sedar namanya dalam senarai 41 individu yang menjadi responden dalam permohonan SPRM kepada mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
“Memandangkan kes ini telah dikemukakan kepada mahkamah, maka saya tidak akan memberikan apa-apa komen kepada umum. Saya serahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hasan mengulas kenyataan SPRM berjaya memfailkan permohonan melucut hak di bawah Seksyen 56 AMLA 2001 terhadap pelbagai pihak bagi tujuan mendapatkan semula wang 1MDB berjumlah RM270 juta yang disalah guna.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti seramai 41 individu dan entiti yang menjadi responden terhadap kes itu. – K! ONLINE











