KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 kawasan yang terjejas dalam gangguan air tidak berjadual di Gombak, Selangor hari ini dikurangkan kepada 15 kawasan sehingga pukul 5 petang ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pengagihan semula bekalan di sistem agihan dan kawasan yang terlibat dilakukan serta-merta dan dijangka pulih tidak lama lagi.
Kerja pembaikan paip pecah di Taman Prima Sri Gombak, Selangor kini berada pada tahap 62 peratus dan usaha mempercepatkan kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan.
“Bagi meminimumkan impak gangguan, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki air digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas.
“Pihak kami memohon maaf atas kesulitan dan sila rujuk aplikasi Air Selangor untuk maklumat dan status terkini,’’ katanya dalam satu pengumuman lewat petang ini. – UTUSAN ONLINE











