Dua warga emas didakwa terima deposit secara haram - Utusan Malaysia

Dua warga emas didakwa terima deposit secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Dua lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima wang deposit secara haram, empat dan tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Ooi Kooi Lam dan Loh Kim Yong yang masing-masing berusia 62 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) di Alliance Bank, Jalan Stadium di sini antara Julai 2015 hingga Disember 2015.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh dari Perlis itu didakwa melakukan kesalahan serupa di lokasi sama antara Januari 2016 hingga Disember 2016.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 2 Julai depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini