KUALA LUMPUR – CB Industrial Product Holding Bhd. (CBIPH) melalui VP Engineering (M) Sdn. Bhd. akan membekalkan 17 jentera pemadam api lapangan terbang termasuk penyelenggaraan menyeluruh selama 17 tahun yang bernilai RM76.24 juta kepada Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MASB).
CBIPH dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, VP Engineering telah menerima surat anugerah (LoA) daripada MASB semalam untuk membekal, menghantar, menguji dan mentauliahkan sistem kenderaan serta menyediakan penyenggaraan sehingga Mac 2038.
“LoA itu dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham CBIPH bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan seterusnya sehingga selesai kerja-kerja terbabit,” katanya di sini hari ini.
MASB merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd. bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan berkaitan lapangan terbang tertentu di Malaysia selain daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. – BERNAMA











