KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini seiring dengan prestasi komoditi yang bertambah baik seperti penanda aras minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah.
Saham Petronas Chemicals meningkat sebanyak 19 sen kepada RM8.56 manakala Sime Darby Plantation naik 18 sen kepada RM4.96.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.80 mata atau 0.41 peratus untuk ditutup kepada 1,682.23 berbanding paras penutup 1,675.43 pada Khamis.
Indeks utama itu dibuka rendah 3.91 mata kepada 1,672.24 pagi ini dan bergerak antara paras 1,672.09 dan 1,682.23 sepanjang hari dagangan.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 474 berbanding 338 manakala 403 kaunter tidak berubah, 672 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Bagaimanapun, jumlah dagangan turun kepada 2.23 bilion unit bernilai RM3.05 bilion daripada 2.27 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Khamis.
Seorang peniaga berkata, bursa tempatan menongkah arus berbanding aliran serantau untuk ditutup tinggi berikutan sumber semula jadinya yang besar.
“Ketika beberapa bursa serantau lain bergelut untuk bergerak seiring dengan kerancakan di Wall Street, Bursa Malaysia sebagai pasaran defensif menerima sokongan belian yang diterajui oleh produk perindustrian dan perkhidmatan dan perladangan,” katanya di sini hari ini.
Kali terakhir indeks itu mencecah paras 1,682.23 adalah pada Februari tahun ini.
Hari ini, minyak mentah Brent meningkat 0.51 peratus kepada AS$64.78 (RM269.22) setong di tengah-tengah kebimbangan konfrontasi tentera antara Tehran dan Washington.
Di dalam negara, duti eksport bagi minyak sawit mentah dikekalkan pada sifar peratus bagi Julai dalam usaha meningkatkan eksport minyak sawit dan berkembang ke pasaran baharu. – BERNAMA











