KUALA LUMPUR – Sebuah kapal pengawas perikanan Indonesia merempuh dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 69.2 kilometer (km) tenggara Pulau Jarak, Perak.
Kejadian rempuhan bot bernombor pendaftaran PKFB 1802 itu berlaku di kedudukan 12.9 km dari garisan sempadan Malaysia-Indonesia pada pukul 8.30 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, Bot Penggalang bersama sebuah pesawat udara Maritim Malaysia dikejarkan ke lokasi dan menemukan bot nelayan itu sedang ditarik oleh kapal KP Orca 02 milik Indonesia di lokasi 65.9 km tenggara Pulau Jarak.
Menurutnya, Bot Penggalang merapati KP Orca 02 dan seterusnya tiga anggota penguat kuasa Maritim Malaysia menaiki kapal itu pada pukul 10.15 pagi untuk berunding bagi melepaskan bot terbabit.
“Sepanjang rundingan, kru KP Orca 02 menyatakan bahawa mereka tidak selesa berada di perairan Malaysia dan mereka akan menarik bot ke sempadan sehingga rundingan selesai. Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, Bot Penggalang memaklumkan mereka terpaksa mengiringi Kapal Orca 02 yang enggan melepaskan bot sehingga ke garisan sempadan Malaysia–Indonesia.
“Kami merasa kesal atas kejadian yang berlaku dan badan penguat kuasa negara jiran itu bertindak jauh melampaui undang-undang negara ini dan antarabangsa serta tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa para nelayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.– UTUSAN ONLINE











