Bekas pekerja pusat jagaan dedah penderaan dialami warga tua - Utusan Malaysia

Bekas pekerja pusat jagaan dedah penderaan dialami warga tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Empat bekas pekerja sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Seremban 3 di sini hari ini tampil mendedahkan bahawa kejadian mengabaikan dan mendera penghuni pusat itu seperti yang tular dalam media sosial benar-benar berlaku.

Mereka mendakwa, semua perbuatan itu dilakukan oleh seorang individu wanita yang dipercayai penyelia pusat berkenaan sejak ia beroperasi pada 2016.

Kesemua yang hadir dalam sidang akhbar di sini hari ini enggan dikenali dengan nama sebenar kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga masing-masing akibat membuat pendedahan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Salah seorang bekas pekerja, Ain, 24, berkata, kejadian dera itu berlaku sejak 2016 dan beliau sendiri pernah menyaksikan seorang warga emas lelaki disepak dan dipaksa minum air kencing oleh individu wanita tersebut.

“Saya pernah beritahu pemilik pusat ini mengenai salah laku yang berlaku tetapi dia tidak percaya kerana lebih percayakan individu wanita tersebut.

“Saya juga tidak pernah melaporkan apa yang berlaku kerana bimbang keselamatan diri selain individu wanita itu memegang kad bank saya,” katanya di sini hari ini.

Fikri, 24, berkata, sepanjang bekerja di pusat jagaan itu pada November tahun lalu, beliau menyaksikan sebanyak lima warga emas didera oleh individu wanita itu antaranya dipukul dengan penyapu dan ditampar menggunakan selipar.

Jelasnya, walaupun perbuatan itu telah diadukan kepada pemilik pusat jagaan itu, tiada tindakan diambil dan ini telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan pekerja terhadap wanita berkaitan.

“Kami tidak mempunyai pilihan melainkan mendiamkan diri kerana individu wanita itu mempunyai pengaruh yang kuat di pusat jagaan tersebut,” ujarnya.

Bagi seorang lagi pekerja, Dila, 24, mereka dibayar gaji sebanyak RM1,000 sebulan dan perlu bekerja selama 12 jam sehari tanpa sebarang caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO).

“Saya pernah membangkitkan apa yang berlaku di pusat jagaan ini kepada pemilik. Tetapi dia hanya gelak.

“Selain itu, makanan kepada penghuni dimasak sebelum subuh oleh individu wanita tersebut dan hidangan yang diberikan tidak sama dengan menu yang dipaparkan,” katanya.

Faizal, 26, pula berkata, beliau pernah melihat seorang warga emas diikat pada kerusi dan dikurung dalam sebuah bilik oleh individu wanita itu yang mendakwa orang tua itu menimbulkan masalah.

“Esoknya saya lihat warga emas itu telah tergolek di lantai bilik dengan kesan darah di kepalanya,” katanya.

Kesemua bekas pekerja itu berkata, mereka telah membuat laporan polis malam tadi mengenai kejadian yang berlaku serta bertujuan melindungi diri daripada tindak balas yang mungkin dibuat terhadap mereka.

Mereka menegaskan, tujuan membuat pendedahan itu supaya tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa kerana berasa kasihan dengan nasib yang dialami oleh penghuni pusat jagaan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini