BIRMINGHAM – Juara Kejohanan Tenis Terbuka Perancis, Ashleigh Barty memulakan kempennya di Terbuka Klasik Birmingham dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain Croatia, Donna Vekic di pusingan pertama awal pagi semalam.
Barty yang merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya di Roland Garros dua minggu lalu, bakal berdepan pemain Amerika Syarikat (AS), Jennifer Brady di pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di atas gelanggang rumput tersebut.
“Saya rasa permainan saya pada permulaan kejohanan ini berjalan dengan lancar. Kaki saya bergerak dengan baik di atas rumput.
“Kebanyakan pemain tidak mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan diri di gelanggang permukaan rumput ini berikutan masalah cuaca.
“Namun, ia (permainan) menjadi semakin baik. Saya hanya bermain mengikut rentak saya sendiri dan cuba berusaha untuk memenangi perlawanan sebaik mungkin,” jelas Barty.
Pemain Australia itu melonjak ke tangga kedua dalam ranking pemain wanita dunia dan berpeluang merampas kedudukan No. 1 dunia daripada Naomi Osaka jika menjuarai kejohanan ini.
Keputusan lain menyaksikan pemain No. 3 dunia, Karolina Pliskova tewas kepada adik kembarnya, Kristyna 6-2, 3-6, 7-6 (9/7) manakala Johanna Konta pula tunduk 6-3, 6-4 kepada Jelena Ostapenko. – AFP











