KUALA LUMPUR – Batalion Ke-10 (BN10) Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas kira-kira 90 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesies serta sebuah jengkaut dianggarkan bernilai RM282,500 di Jalan Narasit, Sibu-Maradong di Sarawak, semalam.
Memetik portal Utusan Borneo, serbuan dijalankan kira-kira pukul 10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik BN10 PGA Sibu diketuai Inspektor Mohd. Salman Zulfitri.
Pegawai Pemerintah BN10 PGA Kem Lanang Sibu, Superintenden Sanudin Md. Isa berkata, dalam serbuan di kawasan kolam balak (log pond) yang disyaki beroperasi secara haram itu, seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.
“Semasa serbuan dibuat, tiada pekerja di lokasi tersebut, bagaimanapun, setelah menunggu hampir sejam, pasukan serbuan didatangi seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di kolam kayu balak berkenaan.
“Ketika diminta mengemukakan dokumen berkaitan dengan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut, lelaki berusia 37 tahun tersebut gagal berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Sanudin, modus operandi yang digunakan ialah kayu balak yang ditebang akan dilonggokkan di kawasan tersebut sebelum dijual ke kilang-kilang kayu di sekitar kawasan Sibu.
Katanya, rampasan dibuat di bawah Akta Ordinan Hutan Sarawak 2015 dan kesemua rampasan serta tangkapan diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Bahagian Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tambahnya, operasi itu turut disertai anggota penguatkuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan dua anggota penguatkuasa Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN). – UTUSAN ONLINE










