KUALA LUMPUR – Semua bakal haji disaran untuk menyertai Kursus Perdana Haji 1440H/2019 yang akan dianjurkan secara berperingkat di 14 lokasi seluruh negara bermula 21 Jun hingga sehingga 29 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Zukri Samat dalam kenyataan hari ini berkata, kursus yang akan berlangsung selama dua hari satu malam itu adalah platform ulang kaji dan pelengkap kepada semua kursus haji yang dikendalikan agensi tersebut sebelum ini.
“Objektif utama Tabung Haji menganjurkan kursus ini adalah bagi melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan serta berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji nanti.
“Semua bakal haji akan melalui latihan praktikal seperti bertawaf, saie, melontar jamrah dan ibadat lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di Tanah Suci Mekah yang sesak dipenuhi jutaan umat Islam dari seluruh dunia,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zukri berkata semua bakal haji berpeluang untuk melontarkan soalan kepada pegawai-pegawai yang bertugas semasa kursus itu berlangsung di negeri masing-masing.
Katanya, kursus tersebut amat penting untuk kesempurnaan ibadat haji yang akan dilaksanakan nanti sekaligus memperoleh peluang untuk mendapat haji yang mabrur. – UTUSAN ONLINE










