ALOR SETAR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai tindakan jahat yang cuba mengkucar-kacirkan kerajaan.
Timbalan Ketuanya, Nasir Azizan berkata, gesaan tersebut juga bukan sahaja mampu menggugat kestabilan kepimpinan negeri, bahkan Johari dilihat seolah-olah mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.

Menurutnya, sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Johari juga mempunyai suara dan ruang untuk membantu menyelesaikan sebarang permasalahan di negeri ini sekiranya wujud seperti yang dimaksudkannya.
“Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, sepatutnya terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan untuk terus mengorak langkah menjadikan Kedah ke satu tahap yang terbaik.
“Apakah permasalahan negeri Kedah yang beliau maksudkan, adakah beliau meragui kepimpinan Menteri Besar, Dato Seri Mukhriz Mahathir dan mengapa dengan penukaran itu (Perdana Menteri) mampu menyelesaikan permasalahan negeri,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, Johari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri menyatakan keyakinannya terhadap masalah di Kedah akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat ke lima bulan akan datang apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan kepada penggantinya.
Mengulas lanjut, Nasir berkata, Armada negeri turut kesal dengan kenyataan yang menggesa peralihan kuasa Perdana Menteri dan mengutuk keras sebarang usaha untuk menggesa Dr. Mahathir melepaskan jawatan.
“Kenyataan Perdana Menteri adalah jelas iaitu misi memakmurkan negara lebih penting daripada agenda-agenda tidak bermoral seperti ini, malah dalam keadaan kita sedang menangani krisis negara, isu seperti ini tak patut timbul.
“Justeru, saya menggesa semua pihak berganding bahu membawa negara kembali ke tahap yang terbaik kerana sekarang adalah masa untuk bekerja dan bukannya untuk agenda politik bodoh dan kotor ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nasir turut menggesa Johari melepaskan jawatan yang disandangnya dalam parti kerana kalah dalam pemilihan lalu yang menunjukkan rakyat hilang kepercayaan terhadap beliau. -UTUSAN ONLINE











