PARIS – Aplikasi seperti Facebook dan Tinder didapati sarat dengan pelacuran dalam talian dan ekploitasi seksual, menurut kajian di seluruh dunia oleh kumpulan antipelacuran Perancis, semalam.
Kegiatan pelacuran kini berpindah dari jalanan ke Internet dengan merekrut gadis-gadis muda menerusi Snapchat dan Instagram sebelum melacurkan mereka di kediaman yang disewa menerusi Airbnb, kata kumpulan antipelacuran Fondation Scelles.
Laporan tersebut, “Kegiatan pelacuran: Cabaran Baharu, Jawapan Baharu” itu hasil kajian di 35 buah negara.
Di Israel, aplikasi berteman Tinder menjadi alat paling popular untuk mendapatkan pelacur, manakala pelajar di Zambia menggunakan kafe siber untuk menyertai kumpulan Whatsapp dan Facebook untuk berhubung dengan pelacur dan mudah diperoleh dengan hanya beberapa klik, kata laporan tersebut.
Manakala di Perancis, anggota terbabit menghubungi gadis-gadis di bawah umur dari “rumah kebajikan dan sekolah tinggi” menerusi rangkaian sosial seperti Facebook dan Snapchat, dengan menawarkan peluang untuk mendapatkan wang dengan sangat mudah sebelum mengiklankannya secara online dan melacurkan mereka.
“Hal ini berlaku di serata dunia, dari negeri yang begitu ketat seperti China sehinggalah Jerman yang begitu longgar dari segi perundangannya,” kata Yves Charpenel, Ketua Fondation Scelles kepada AFP.
Bagaimanapun, ia begitu sukar untuk dikesan oleh pihak berkuasa, kerana ia berlindung di sebalik pengiklanan tanpa dikenali dan samar-samar untuk “bermesej” dan “waktu berseronok.” – AFP











