Anak saudara didakwa bakar rumah tiga beradik buta - Utusan Malaysia

Anak saudara didakwa bakar rumah tiga beradik buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membakar rumah tiga beradik buta yang juga merupakan ibu saudaranya, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Faissol Kassim,28, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Monica Joseph Gaisah.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kerosakan sebuah rumah di

Memuatkan artikel berkaitan…

Kampung Titi Besi di sini kira-kira pukul 4.30 petang, pada 2 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Namun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norharniza Rusli yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan ditawarkan kepada lelaki berkenaan kerana kes tersebut adalah dibawah seksyen yang boleh ditawarkan jaminan.

Dalam masa sama katanya, lelaki tersebut juga masih menjaga dua anak yang berumur 8 dan 9 tahun termasuk menjaga tiga beradik buta itu serta ibu dan bapa tirinya yang lumpuh.

Monica kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh bagaimanapun tidak mampu bayar dan terpaksa ditahan di penjara.

Mahkamah menetapkan 18 Jun depan bagi serahan dokumen untuk menetapkan tarikh bicara semula kes berkenaan.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan jeritan meminta tolong tiga beradik buta yang terperangkap di dalam kediaman mereka yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa warga emas itu dalam kejadian tersebut.

Penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa segera membantu membawa keluar warga emas terbabit ketika api sedang marak dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang.

Berikutan kejadian itu, mangsa, Halijah Ibrahim, 78, Che Manai, 73, dan Zainah, 67, tinggal sehelai sepinggang selain kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai, barangan kemas serta pelbagai barangan berharga lain termasuk kelengkapan serta baju raya mereka musnah dalam kebakaran tersebut.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan lelaki tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini