SUZUKA – “Saya sudah mengotakan janji untuk berada di podium kemenangan. Hari ini saya sudah melakukannya walaupun hanya muncul naib juara. Terima kasih kepada pasukan.”
Itu kata-kata yang diungkap oleh pelumba pasukan RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team, Mohd. Adib Rosley sebaik sahaja tamat Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.
Dalam perlumbaan yang berlangsung di litar yang agak basah itu gara-gara hujan, Adib muncul naib juara dengan catatan masa 14 minit, 15.759 saat (s).
Walaupun dilihat berpeluang untuk bergelar juara, namun kesilapan yang dilakukan Adib ketika perlumbaan berbaki dua pusingan telah memberi ruang kepada pelumba berusia 13 tahun dari Indonesia, Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) untuk memintasnya.
Aldi memenangi lima pusingan perlumbaan itu dengan catatan masa 14:15.462s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Mohd. Fazli Sham dengan masa 14:16.085s.
Pada Pusingan 3 di Buriram bulan lalu, Fazli muncul juara Perlumbaan 2.
Bagi Adib, usahanya sepanjang musim ini yang tidak pernah jemu untuk mengejar kedudukan podium akhirnya berjaya direalisasikan.
“Saya tidak kisah kalau tak muncul juara, tetapi apa yang penting adalah untuk berada di podium kemenangan. Ia merupakan sasaran saya musim ini kerana sudah lama tidak merasai detik manis berada di podium ARRC,” jelas pelumba asal Selangor itu.
Ditanya mengenai perasaannya ketika mengharungi perlumbaan tersebut, Adib menjelaskan bahawa dia turun seperti biasa, namun tetap berhati-hati kerana keadaan litar yang agak basah.
Keadaan jenteranya juga berada dalam keadaan stabil berbanding ketika mengharungi Perlumbaan 1 semalam walaupun pelarasannya sama.
“Mungkin Perlumbaan 2 hari ini yang berlangsung dalam keadaan litar basah, telah memaksa pelumba lain untuk lebih berhati-hati, tetapi bagi saya ia bukan satu masalah asalkan kekal fokus dan cuba mengelak sebarang kesilapan,” jelasnya.
Dalam penampilannya di Pusingan 1 dan 2 sebelum ini, nasib tidak begitu menyebelahi Adib kerana dia sering berdepan masalah teknikal sehingga menyaksikannya gagal menamatkan perlumbaan.
Pencapaian terbaiknya musim ini adalah menduduki tempat ketujuh Perlumbaan 1 di Buriram bagi membolehkannya mengutip tujuh mata manakala di Sepang dia menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-13 untuk meraih tiga mata.
Selepas selesai perlumbaan hari ini kedudukan keseluruhan masih diungguli Wawan Wello yang sudah mengumpul 71 mata manakala McKinley Kyle Paz dan Mohd. Akid Aziz terikat dengan 59 mata. – UTUSAN ONLINE











