SETIU – Lapan penumpang termasuk dua pelancong asing nyaris maut apabila bas ekspres dua tingkat yang dinaiki terbakar dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Chalok dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, pemandu dan kelindan bas Sani Ekspres itu turut selamat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zulkifli Mat Deris ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian enjin bas berkenaan.
Beliau turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan bas tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Besut menuju Kuala Lumpur.
“Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Sulaiman Merah berkata, dua jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pukul 10.40 pagi.
“Anggota kami tiba di lokasi pukul 10.47 pagi dan mengambil masa 25 minit memadamkan kebakaran,” jelasnya.
Beliau difahamkan bas jenis Scania itu bertolak dari Besut pukul 9 pagi dalam perjalanan ke Kajang, Selangor. – UTUSAN ONLINE











