BENTONG – Seramai 24 penumpang sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuantan mengalami detik cemas selepas kenderaan yang mereka naiki itu terlibat dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kiometer 42.2 Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku apabila sebuah lori melanggar belakang treler yang sedang ditunda sebuah trak sebelum lori berkenaan pula dilanggar oleh sebuah bas.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri (JBPM) Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, bagaimanapun tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
“Tiada mangsa yang cedera dan bomba telah membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat. Kejadian hanya menyebabkan kesesakan lalu lintas buat sementara waktu,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











