22 remaja pesta dadah ditahan - Utusan Malaysia

22 remaja pesta dadah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR- Keseronokan sebilangan remaja berhibur sambil mengambil dadah membawa padah apabila 22 individu termasuk 17 pelajar sekolah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominum mewah di Jalan Sultan Sulaiman di sini kelmarin.

Serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kesemua tangkapan berusia antara 15 hingga 22 tahun itu terdiri daripada 17 lelaki dan lima perempuan.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas dua peket plastik ketamin seberat 1.8 gram; tiga biji pil ekstasi seberat satu gram; dua biji erimin 5 (0.6 gram); sebotol cecair ketum (1.5 liter) dan ketulan mampat dipercayai ganja seberat 4.3 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati enam termasuk seorang perempuan positif dadah.

“Kita juga menahan 14 lelaki dan 3 perempuan iaitu pelajar sekolah menengah di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Fahmi berkata, kesemua tangkapan direman empat hari bermula semalam hingga Khamis ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2), Seksyen 6, Seksyen 30 (3) Akta Racun serta Seksyen 15 (1) dan kesemuanya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga ingin menyeru kepada ibu bapa agar lebih prihatin dengan pergaulan serta aktiviti anak-anak agar mengelakkan mereka terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini