JAKARTA 18 Jun – Sekurang-kurangnya 18 orang maut selepas sebuah feri karam di pulau Jawa semalam.
Menurut jurucakap Polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera, feri yang membawa kira-kira 60 orang penumpang itu terbalik berdekatan pulau Madura.
Pasukan mencari dan menyelamat menemukan 16 lagi mayat pagi ini menjadikan angka keseluruhan korban kepada 18 orang.
Seramai 39 orang lagi dilaporkan selamat.
Pihak berkuasa masih menjalankan usaha mencari empat lagi penumpang yang masih hilang.
“Disyaki bot itu terlebih muatan penumpang. Bot itu dipukul ombak besar, terbalik lalu karam,” kata Mangera.
Feri berukuran 10 meter itu ditemukan oleh seorang nelayan sejurus ia karam.
Kemalangan marin membabitkan feri dan bot sering berlaku di Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 buah pulau.
Tahun lalu, lebih 160 orang terkorban selepas sebuah feri karam di pulau Sumatera. – AFP











