15 individu diberkas disyaki seludup manusia - Utusan Malaysia

15 individu diberkas disyaki seludup manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menahan 15 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran dalam operasi Ops Pintas Selatan bermula 13 Mei hingga hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua suspek yang ditahan itu terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia berusia antara 23 hingga 65 tahun. Menurutnya, mereka terdiri daripada masing-masing empat individu yang bertindak sebagai tekong darat, penjaga rumah penampungan dan penjaga air serta pemandu kenderaan.

“Operasi Ops Pintas Selatan dijalankan bermula 13 Mei hingga hari ini (17 Jun) adalah untuk mengesan dan menangkap individu menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sepanjang tempoh itu, pihak kita telah melakukan 24 sekatan jalan raya seluruh Johor dan memeriksa 700 buah kenderaan serta 1,074 individu pelbagai peringkat umur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, menerusi operasi terbabit, polis turut melakukan rondaan di sepanjang perairan negeri Johor membabitkan 516 kilometer bermula dari Mersing sehingga ke Muar.

Katanya, kesemua lelaki yang diberkas itu direman untuk disiasat mengikut Seksyen 12 dan 26C Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau menambah, dengan tertangkapnya individu tersebut telah berjaya menyekat aktiviti haram ini daripada jaringan yang lebih besar.

“Pihak Polis Johor tidak akan bersekongkol dengan sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan berazam supaya negeri ini bebas daripada kegiatan ini,” katanya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini