Zamrud berkilau di langit abadi - Utusan Malaysia

Zamrud berkilau di langit abadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOLAT subuh pagi Jun 1964 itu di Masjid Jamek Kampung Baru ku rasakan amat syahdunya. Buya Hamka mengimami dan membaca doa dan seterusnya menyampaikan tazkirah. Suaranya tambah dimerdukan dengan amsal yang diindahkan oleh pantun dan pepatah petitih. Suaranya mersik dan serak basah, satu-satu menuturkan kata dan ayat-ayat Allah: Kalau roboh Kota Melaka

Papan di Jawa kami dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Nyawa dan badan kami berikan.

Buya Hamka memberikan tamsil ibarat bahawa persatuan ukhuwah di Nusantara Melayu Raya itu sudah mantap dan mendarah daging. Masing-masing bersedia saling membantu dalam susah dan senang. “Tetapi hendaknya rasa takwa dan iman kalian tetap teguh kepada Allah SWT” katanya:

Memuatkan artikel berkaitan…
BUYA HAMKA
BUYA HAMKA

Biar seribu kapal tenggelam di lautan
Cita-cita insan tidak pernah padam
Terus melangkah menuju impian
Bergantunglah hati kepada Tuhan.

Dengan yakin Buya Hamka menggalakkan agar yang hadir siap siaga dalam perjuangan. Jangan gusar dan lemah menghadapi cubaan dan dugaan. Ujian Allah tetap ada sebelum cita-cita tercapai: “Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah seterusnya.”

Demikianlah fasih dan syahdunya tazkirah Buya Hamka dalam pertemuannya dengan jemaah yang hadir. Mereka membawa pulang amanah yang disambutnya daripada lidah seorang ulama, hukama, pemikir abad, ahli falsafah, sasterawan ampuh yang berpengaruh di dunia Melayu. Namanya turut harum di Asia Barat. Buku-bukunya tentang Islam seperti Tasawuf Moden, Mencari Dia, Tafsir Al-Azhar, dan romannya yang mengkritik adat Minangkabau yang ketinggalan zaman seperti Dijemput Mamaknya, Di Bawah Lindungan Ka’abah dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck sungguh membuka mata. Gabungan jurus lingkup tulisannya yang keagamaan dan seni sastera itu menimbulkan julukan untuk Buya Hamka sebagai Ulama Sasterawan. Beliau tetap ulama dan tetap juga seorang yang lincah menggunakan bahasa dan seni bagi menyampaikan dakwahnya. Buya Hamka dikagumi pengikutnya di Nusantara Melayu Raya. Musuh-musuhnya tidak senang diam untuk menjatuhkannya.

Dalam tahun 50-an dan 60-an namanya sentiasa membasahi bibir jemaahnya di Semenanjung dan sampailah selepas tanah air ini mencapai kemerdekaan. Orang yang berpengaruh ini bukan selalu disenangi. Ada sahaja yang ingin menghalangnya untuk menyampaikan ceramahnya sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia.

Di Johor, Buya pernah dihalang berpunca dengan kritikannya yang tajam. Syarahannya di Masjid Ridhwaniah, Kuala Kangsar (Ogos 1960) mencelikkan akal dan budi: “Saya hairan ulama di Malaya ini suka mempertengkarkan soal kecil seperti ‘katak haram’, walhal soal yang lebih besar dilupakan. Jika berpecah-belah, ini akan merugikan bangsa kita.”

Sasterawan di Malaysia dalam 1960 tidak akan lepas membaca romannya yang masyhur Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Watak dua kekasih Zainuddin dan Hayati. Hayati menjadi mangsa keadaan. Kedua-duanya termasuk teks roman ini diarifi dan dipelajari. Oleh kerana adat totok Minangkabau dan perbedaan darjat menyebabkan kasih mereka gagal di pertengahan jalan. Kebendaan dan kedudukan Zainuddin, menjadi punca kegagalannya itu. Tetapi Zainuddin menyambut kegagalannya itu dengan kebangkitan semangat baharu untuk maju dalam ilmu pengetahuan, dalam penulisan dan perniagaan.

HAMKA itu adalah singkatan daripada nama lengkap Buya yakni Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Dilahirkan di Sungai Batang, Danau Maninjau, Minangkabau pada 17 Februari 1908. Waktu Hamka berumur enam tahun dibawa oleh ayahnya ke Padang Panjang bersekolah dan pada malam hari mengaji al-Quran. Pada usia 10 tahun fasihlah dia berbahasa Arab. Pada usia 16 tahun beliau membawa diri ke Mekah selepas ayahnya berkahwin lagi.

Beliau terus mendalami ilmu di Tanah Jawa berguru dengan Ki Bagus Hadikusumo, H.O.S Cokroaminoto, R.M. Suryopranoto dan H. Fakhruddin. Sekembalinya dari Mekah dia menikah dengan Siti Raham yang amat meminati karya Hamka. Mereka dikurniakan 11 anak. Pada 1973, Buya Hamka menikah dengan Hajah Siti Khadijah.

Selain mengarang buku agama, falsafah dan seni sastera, Hamka turut meminati politik. Buya Hamka yang ikut terlibat dalam gerakan Muhammadiyah memimpin Partai Mashumi (Majllis Syuro Muslimin Se Indonesia). Buya bersama-sama Soekarno dan Hatta berjuang menentang kolonialis Belanda. Soekarno melantiknya menjadi Pemimpin Tabung Haji Indonesia. Tetapi hubungan rapat itu retak juga apabila Soekarno berbaik-baik dengan Partai Komunis Indonesia. Buya Hamka menentangnya.

Beliau ditangkap, diinterogasi, difitnah dan dituduh berbaik-baik dengan Malaysia dan diungkapkan tuduhan: “Saudara pengkhianat kepada Indonesia kerana mahu menjual Indonesia kepada Malaysia!” Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia dalam gelombang yang kuat ketika itu. Buya Hamka berusia 58 tahun. Fitnah yang amat jahat ini menyebabkan beliau dipenjara di Sukabumi selama dua tahun empat bulan. Tetapi ada hikmah di sebalik hukuman itu, Buya Hamka dapat menuliskan Tafsir Al-Azhar.

Buya Hamka memimpin penerbitan majalah Islam Pandji Masyarakat. Ada tulisan Bung Hatta yang mengkritik Soekarno disiarkan di dalamnya. Sampailah ketikanya Pandji Masyarakat itupun diharamkan penerbitannya.

Namun siapakah yang dapat menutup jasa bakti zamrud hijau yang berkilau ini? Universiti Al-Azhar menganugerahkan Buya Hamka gelaran Honoris de Causa (1959) dan Universiti Kebangsaan Malaysia turut menganugerahkan gelaran yang sama pada 1974.

Penulis golongan Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) turut mengkritik hebat Buya Hamka. Pramoedya Ananta Toer menuduhnya memplagiat karya pengarang Perancis Alvonso Care. Yang anehnya musuh Buya Hamka ini, Soekarna mewasiatkan agar jenazahnya nanti disembahyangkan oleh Buya Hamka. Anak dan menantu Pramoedya sendiri mencari Hamka untuk belajar hal ehwal Islam. Buya Hamka memadamkan rasa dendamnya, beliau menerima wasiat dan rasa ingin belajar itu sebagai gerakan daripada Allah semata-mata.

Dan beliau menunaikan tanggungjawabnya sebagai Lillahita’ala. Itulah jiwa besar yang ditunjukkannya. Dalam penerimaan ijazah Doktor Kehormat (UKM 1974) sempatlah beliau berpantun:

Malang dan mujur nasib bangsa
Turun dan naik silih berganti
Dihenyak lemah naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri.

Buya Hamka menghembuskan nafas yang akhir pada 24 Julai 1981 di Jakarta dalam usia 73 tahun. Zamrud Hijau terus berkilau di Langit Abadi!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini