Warga LHDN mesti jalankan kerja secara profesional - Utusan Malaysia

Warga LHDN mesti jalankan kerja secara profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 16 Mei – Warga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mestilah menjalankan kerja secara profesional, tanpa ugutan seperti dahulu serta berdasarkan fakta dan angka, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau yakin, LHDN boleh memainkan peranan penting untuk menentukan persepsi awam kepada kerajaan.

“Bila ada anggota yang bersenjata dan memakai topeng balaclava menemani LHDN dalam tindakan serbuan, ia menimbulkan persepsi amat negatif di kalangan rakyat sehingga ia menyumbang sedikit sebanyak kepada kekalahan kerajaan masa itu dalam pilihan raya yang lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan keras dan kasar yang dahulu telah pun dihentikan oleh kerajaan baharu.

“Kini orang awam digalakkan untuk membuat aduan yang akan disiasat dengan serius dan diambil tindakan tegas sekiranya berasas.

“Ini adalah kerana sebagai pembayar cukai, mereka bukan lagi lawan tetapi adalah kawan yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya berucap dalam Program Ihya Ramadan 2019 LHDN di Wisma Hasil di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi Anggota Lembaga LHDN, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Dalam majlis itu, LHDN turut meraikan dan menyampaikan duit raya kepada 90 anak-anak yatim dan pelajar tahfiz dari lima rumah kebajikan sekitar Selangor.

Menurut Guan Eng, warga LHDN hendaklah sentiasa berusaha memartabatkan undang-undang percukaian dan menjalankan tugas dengan amanah berlandaskan etika kerja yang tinggi.

Jelasnya, itu sebabnya pihak kerajaan melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) dengan penalti hanya 10 peratus bermula pada 3 November lalu dan telah dilanjutkan ke 30 September tahun ini atas permintaan rakyat.

“PKPS adalah satu hadiah daripada kerajaan kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan percukaian dengan mengemaskini kedudukan cukai pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Sabin menyatakan komitmen warga LHDN untuk meningkatkan produktiviti dalam tugasan harian mereka berlandaskan peraturan cukai agar tidak berlaku ketirisan kepada negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini