SHAH ALAM 10 Mei – Sukar nak percaya pada mulanya. Yalah, bukan senang nak dapat benda percuma sekarang ini. Semuanya kena guna duit.
Namun Shahmil Amal Mohd. Mukhtar, 47, berkongsi rezeki pada bulan Ramadan ini dengan menyediakan nasi lemak percuma kepada orang ramai.
“Saya nak berkongsi rezeki. Kalau rezeki yang diperoleh bukan untuk kita seorang, ada juga rezeki orang lain maka eloklah kita berkongsi.
“Nak pula pada bulan Ramadan, lebih afdal. Hati rasa senang, puas buat sedekah sebegini,” katanya ketika ditemui di gerainya di Seksyen 9 di sini, semalam.
Ini merupakan tahun kedua dia menjalankan kerja amal tersebut. Pada tahun lepas, gerai itu didirikan di lokasi sama pada bulan Ramadan.
Gerai yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah 9/6 itu mengagihkan nasi lemak kepada orang ramai mulai pukul 5.30 petang pada setiap Khamis dan Jumaat sepanjang Ramadan.
Shahmil Amal menyediakan, memasak dan membungkus sendiri nasi lemak tersebut dengan dibantu isteri, anak dan rakan-rakan.
Meskipun sudah diletakkan papan tanda bertulis ‘nasi lemak percuma’, ada juga pengunjung yang mengeluarkan wang untuk membayar. Namun mereka terkejut apabila diberitahu ia percuma.
Apatah lagi setiap bungkus nasi lemak tersebut ada lauk udang sebesar ibu jari atau sotong. Kalau di pasaran, harganya mungkin antara RM3 hingga RM4.
Mungkin ramai yang tidak sempat menyediakan atau membeli juadah berbuka puasa dan adanya gerai berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu mereka.
Shahmil Amal yang juga mesra dipanggil Kapten Max berkata, dia mengeluarkan kos kira-kira RM1,500 setiap minggu untuk menyediakan 400 bungkus nasi lemak sehari. Ia boleh dinikmati oleh 200 orang dengan setiap pengunjung diberikan dua bungkus.
Dia juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu sama-sama berkongsi rezeki agar lebih banyak nasi lemak dapat diagihkan kepada orang ramai. – UTUSAN ONLINE











