PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri merafak merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.
“Merafak sembah takziah kepada seluruh ahli keluarga serta kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, Sultan Pahang kelima pagi tadi.
“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di sini sebentar tadi.
Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.
Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media hari ini.
Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88, merupakan Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – K! ONLINE











