LONDON – Jurulatih Valencia, Marcelino menaruh keyakinan bahawa pasukannya masih mampu untuk merentap ego Arsenal dalam aksi timbal balik selepas mereka dimalukan dengan kekalahan 1-3 bagi aksi pertama separuh akhir Liga Europa di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Meskipun pasukan pelawat terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Mouctar Diakhaby pada minit ke-11, namun kebangkitan The Gunners telah menghukum Valencia selepas dibolosi dengan dua jaringan Alexandre Lacazette dan satu gol daripada Pierre-Emerick Aubameyang pada lewat permainan.
Keputusan itu memberi keselesaan buat Arsenal yang mendapat kelebihan dari segi bekalan gol sebelum bertandang ke gelanggang Valencia.
Bagaimanapun, Marcelino tetap yakin dengan kemampuan pemainnya untuk melakukan kebangkitan, sekali gus mengubah keputusan pada aksi kedua dengan The Gunners minggu hadapan.
“Keputusan aksi pertama sememangnya mampu memberi keselesaan buat Arsenal selepas pemain mereka menunjukkan aksi yang penuh bertenaga.
“Apa pun kami tetap mengharapkan tuah bakal memihak kepada kami apabila beraksi di laman sendiri pada aksi timbal balik selepas ini.
“Ketika bermain di Emirates, saya tidak melihat pemain kami berdepan sebarang kesukaran meskipun keputusan tidak memihak kepada pasukan kami.
“Namun, kami telah mendapat satu gol di tempat lawan dan saya percaya ia mampu menjadi bekalan buat kami untuk merentap ego Arsenal di Mestalla selepas ini,” kata Marcelino. – Agensi










