Tiga stesen LRT laluan Sri Petaling ditutup sementara bermula 9 Jun - Utusan Malaysia

Tiga stesen LRT laluan Sri Petaling ditutup sementara bermula 9 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mei – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Sri Petaling melibatkan tiga stesen iaitu Bandaraya, Sultan Ismail dan PWTC akan ditutup sementara dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi pada 9, 16 dan 23 Jun ini bagi kerja-kerja menaik taraf landasan dijalankan.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, stesen-stesen tersebut akan memulakan perkhidmatan seperti biasa pada pukul 9 pagi.

“Sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan, tren dari Ampang dan Putra Heights akan berakhir di stesen LRT Bandaraya manakala tren dari Sentul Timur akan berakhir di stesen LRT PWTC.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan di antara stesen LRT Bandaraya dan stesen LRT PWTC pada kekerapan 15 minit. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keadaan trafik dan kemudahan ini bagi memastikan pengguna yang terlibat dapat meneruskan perjalanan dengan lancar dan selesa,” katanya.

Menurut Rapid Rail, pengguna LRT yang ingin ke stesen LRT Sultan Ismail dinasihat mendapatkan perkhidmatan bas percuma di stesen LRT Bandaraya atau stesen LRT PWTC.

Ekoran penutupan itu, Rapid Rail berkata, sebahagian daripada Jalan Merpati yang terletak berdekatan stesen LRT Sultan Ismail akan ditutup pada tarikh tersebut dari pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi.

“Ini sebagai langkah keselamatan kerana terdapat peralatan berat digunakan untuk kerja naik taraf.

“Penduduk sekitar Jalan Merpati dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta awam yang terletak bertentangan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwok,’’ katanya.

Tambah Rapid Rail, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh – Kajang dan Rapid KL laluan Monorel beroperasi seperti biasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini