ALOR SETAR 2 Mei – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak wajar apabila menyamakan antara syarikat milik kerajaan (GLC) dan Pertubuhan Peladang, kerana di dalam pertubuhan itu, setiap ahlinya mempunyai saham seperti sebuah koperasi.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, sehubungan itu pelantikan ahli jawatankuasa pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang adalah ditentukan oleh ahli-ahlinya yang membuat pelaburan.
“Kalau GLC, bolehlah dilantik orang politik tetapi bagi Pertubuhan Peladang ia adalah merupakan hak ahli-ahli yang mempunyai saham atau syer di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Mukhriz hari ini, yang tidak menganggap lantikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Pertubuhan Peladang sebagai satu bentuk campur tangan politik.
Beliau yang juga Menteri Besar sebaliknya meminta semua pihak melihat perkara itu sebagai usaha kerajaan untuk mentranformasi Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Untuk rekod, Pertubuhan Peladang yang didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan sukarela adalah di bawah penyeliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Pada 29 April lalu, kesemua 42 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang menaungi 100,000 orang petani di negeri ini membantah terhadap pindaan komposisi ahli jemaah pengarah pertubuhan itu yang dianggap satu bentuk campur tangan politik.
Campur tangan itu turut dilihat bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang tidak mahu melibatkan orang politik dalam mana-mana GLC. – UTUSAN ONLINE











