Tiada sahur kepada penduduk Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin - Utusan Malaysia

Tiada sahur kepada penduduk Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KETIL 19 Mei – Saban tahun, penduduk di Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin, di sini serta murid Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin (SRIRM) tidak pernah terlepas menikmati juadah sahur yang disediakan secara percuma hasil sumbangan pelbagai pihak.

Namun, kali ini, buat pertama kali sejak 19 tahun lalu, hanya 80 murid SRIRM yang tinggal di asrama sekolah itu dapat menjamah menu sahur, manakala 350 penduduk di situ pula terpaksa menyediakan sendiri makanan masing-masing.

Malah, lebih menyedihkan lagi apabila menu untuk berbuka puasa setiap hari juga terpaksa dicatu akibat kekurangan bekalan makanan ekoran kekangan sumber kewangan bagi menampung majlis itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi memastikan setiap penduduk yang majoritinya penoreh getah, buruh dan peniaga kecil-kecilan dapat berbuka puasa, pihak perkampungan terpaksa menyediakan juadah ala kadar seperti gulai ikan kering, terung dan sambal belacan sahaja,” demikian kata Pengarah Program Ihya Ramadan perkampungan itu, Ahmad Shahabudin Ibrahim.

AHMAD SHAHABUDIN IBRAHIM
AHMAD SHAHABUDIN IBRAHIM 

Ahmad Shahabudin yang juga Pengerusi Lembaga Tadbir SRIRM ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sumbangan pihak luar pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang membolehkan mereka menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur kepada lebih 400 penduduk dan murid.

“Sebelum ini, sumbangan bekalan makanan dan wang tunai mencukupi, tetapi tahun ini, kami tidak mempunyai dana yang cukup untuk menyediakan lauk-pauk kepada 350 penduduk untuk berbuka puasa dengan selesa selain tidak dapat menganjurkan majlis sahur kepada mereka walaupun ia diteruskan kepada 80 murid SRIRM.

“Majlis berbuka puasa dan sahur dianjurkan setiap tahun di perkampungan ini bagi mengimarahkan masjid disamping meringankan beban penduduk yang berpendapatan rendah,” katanya.

Tambahnya, jika sebelum ini sumbangan pada hari ke-10 Ramadan sahaja sudah mencecah RM15,000, namun kutipan yang diterima mereka setakat ini hanya kira-kira RM2,000 dan 34 kampit beras.

“Kami berharap sangat masyarakat dapat menghulurkan sedikit sumbangan untuk kami menjalani ibadah di bulan mulia ini dengan lebih selesa.

“Sumbangan yang diperlukan buat masa ini adalah susu, gula, minyak, bawang serta bahan masakan lain,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Shahabudin lagi, wang untuk membayar saguhati kepada 120 peserta majlis zikir dan tahlil di perkampungan itu juga belum cukup yang bertujuan sebagai hadiah untuk membantu penduduk membeli barangan keperluan hari raya Aidilfitri.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada perkampungan itu dan sekolah terbabit khususnya boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Islam 02-048-02-019193-3 atas nama Madrasah Raudhatul Muslimin atau menghubungi Ahmad Shahabudin di talian 013-4400403. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini