KUALA LUMPUR 29 Mei – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak berhasrat untuk memanggil pemain tambahan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Syahmi Safari selepas dia mengalami kecederaan buku lali.
Bekas pengendali Kedah itu berkata dia akan menggunakan pemain yang sedia ada untuk mengisi tempat Syahmi.
“Buat masa sekarang pemain yang kita panggil boleh menggantikan Syahmi. Ada dua atau tiga pemain yang boleh bermain di bek kanan jadi saya tidak begitu risau.
“23 pemain termasuk tiga penjaga jurulatih saya fikir sudah mencukupi kerana selepas bertemu Nepal akan menggugurkan dua pemain untuk menyenaraikan 23 pemain akhir bagi kempen Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023,” kata Cheng Hoe kepada pemberita di Arena Universiti Malaya (UM), semalam.
Malaysia akan menentang menentang Nepal dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini sebelum menghadapi playof bertemu Timor Leste di stadium yang sama pada 7 dan 11 Jun ini. – UTUSAN ONLINE











