Terengganu jadi mangsa amukan Pahang - Utusan Malaysia

Terengganu jadi mangsa amukan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 10 Mei – Skuad Tok Gajah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA 2019 dengan agregat 5-2 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-0 dalam saingan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Dengan kemenangan itu, Pahang yang turun selaku penyandang juara Piala FA musim lalu bakal berdepan saingan Perak ataupun PKNP yang akan turun bermain esok.

Dalam perlawanan tersebut menyaksikan Pahang yang memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan selepas tewas 2-1 dalam suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 1 Mei lalu berterusan melakukan asakan ke kubu lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasilnya, pada minit ketujuh, pasukan bimbingan Dollah Salleh memperoleh gol pertama yang begitu diimpikan skuad itu menerusi jaringan Faisal Abdul Halim.

Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu melalui penyerang importnya, Kipre Tchetche cuba melakukan asakan ke kubu Tok Gajah, namun pergerakan pemain itu berjaya digagalkan pertahanan Pahang, Faisal Rosli.

Bermula separuh masa kedua, Tok Gajah tidak perlu menunggu lama untuk jaringan kedua skuad itu menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dickson Nwakaeme.

Tidak berputus asa biarpun Pahang telah memperoleh dua jaringan, skuad Penyu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim terus melakukan asakan dan berjaya membolosi gawang Tok Gajah pada minit ke-61, namun bola tandukan Tchetche tidak dikira kerana off side.

Selang dua minit selepas itu, Pahang menggandakan jaringan sekali lagi menerusi Nwakaeme yang tenang melakukan tolakan bagi menewaskan penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman selepas menerima hantaran daripada Norsharul Idlan Talaha.

Seakan tidak berpuas hati dengan tiga gol yang diperolehi, Tok Gajah menambah derita skuad Penyu untuk jaringan keempat Pahang menerusi Sumareh pada minit ke-74.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini