JAGUH paralimpik negara, Abdul Latif Romly berazam untuk menjadikan penyertaannya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand di Bangkok ketika ini sebagai platform terbaik melayakkan diri ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina pada November depan.
Pemenang pingat emas acara lompat jauh di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu perlu mencatat jarak 7.75 meter (m) untuk melepasi had kelayakan yang ditetapkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia.
Bagaimanapun, jurulatihnya, Mohd. Shahrul Amri Mohd. Suhaimi enggan meletakkan tekanan tinggi di bahu Latif kerana ini adalah kejohanan kedua yang disertainya pada tahun 2019.
“Saya nak tengok sejauh mana prestasi Latif sama ada boleh cuba melepasi had kelayakan Sukan SEA 2019 atau tidak. Kalau tak silap, dia perlu menyamai catatan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) iaitu 7.75m.
“Terbuka Johor adalah kejohanan pertama dia pada tahun ini tetapi ketika itu dia melompat dengan jarak larian yang pendek. Kali ini dengan hasil latihan sebelum ini, dia mungkin mampu membuat lompatan yang jauh.
“Sasaran utama ialah Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada November depan. Cuma ketika ini, saya mahu lihat sama ada dia sudah berada pada landasan yang tepat atau tidak,” kata Mohd. Shahrul.
Latif, 22, dan seorang lagi atlet negara, Luqman Hakim Ramlan, 24, akan memulakan cabaran mereka dalam acara lompat jauh di Stadium Nasional Suphacalasai esok
Setakat ini, cuma Andre Anura Anuar, 20, mencatat jarak paling hampir dengan had kelayakan 7.75m selepas melakukan lompatan sejauh 7.72m pada Grand Prix Malaysia Mac lalu.
Catatan Andre itu merupakan yang kedua terbaik dalam rantau Asia Tenggara tahun ini selepas ketinggalan hanya 0.25m kepada pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Sapwaturrahman dari Indonesia yang mencatat 7.97m.











