HUDDERSFIELD 6 Mei – Ole Gunnar Solskjaer berkata, Manchester United tidak berhak untuk berada dalam kancah Liga Juara-Juara, selepas harapan untuk berada dalam kelompok empat terbaik berkubur di Huddersfield, semalam.
Keputusan seri 1-1, bermakna United gagal melayakkan diri untuk beraksi dalam kejohanan elit Eropah itu dan Solskjaer berkata, skuad bimbingannya hanya layak beraksi pada Liga Europa.
“Ia tempat yang selayaknya untuk kami. Kedudukan keenam adalah keputusan yang sewajarnya. Ia menunjukkan di mana kami berada. Kami tidak hidup dalam dunia fantasi dengan memikirkan kami mampu mengejar pasukan dua terbaik. Kami terlalu jauh ketinggalan di belakang, tetapi kami tidak seharusnya bercakap kelompok empat terbaik tidak mampu kami gapai,” katanya.
Jaringan Isaac Mbenza, menafikan gol awal Scott McTominay dalam babak pertama buat United, yang turut menyaksikan percubaan mereka menerusi Paul Pogba sebanyak dua kali mengenai palang gol.
“Usaha dan sikap bukan masalah. Pemain telah berlari dan mencuba. Cuma kami yang tidak cukup bagus. Itu sahaja masalahnya. Kami mampu bermain dengan lebih baik. Dalam sejam pertama, lawan tidak mampu mendekati kawasan penalti kami walaupun sekali.
“Permainan hari ini ada baik dan buruk. Kami terperangkap dengan prestasi sedemikian. Ia satu keputusan yang adil, berada di kedudukan keenam,” jelasnya. – AGENSI











