LONDON 13 Mei – Tottenham mengharungi aksi mendebarkan ketika seri 2-2 dengan Everton dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris hari ini, namun keputusan seri sudah memadai untuk membolehkan mereka mengesahkan kedudukan empat terbaik.
Jaringan Eric Dier dan Christian Eriksen memberi satu mata berharga buat Spurs manakala dua jaringan Everton masing-masing disempurnakan oleh Theo Walcott serta Cenk Tosun.
Keputusan itu menyaksikan Tottenham menamatkan kempen dengan 71 mata, satu mata mengatasi Arsenal yang mengalahkan Burnley 3-1 dalam perlawanan terakhir mereka.
Kegagalan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik liga bermakna Gunners kini hanya mempunyai satu lagi talian hayat untuk meraih tiket ke Liga Juara-Juara musim depan iaitu mengalahkan Chelsea dalam perlawanan akhir Liga Europa di Baku, 29 Mei ini.
Dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan satu gol menerusi Eddie Nketiah memastikan kemenangan Arsenal.
Malah, dua gol yang diledak Aubameyang membolehkan dia berkongsi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak liga bersama dua penyerang Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah menerusi 22 gol. – AGENSI











