KUALA LUMPUR 5 Mei – Selepas setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), pasti pelbagai pandangan dan pendapat dinyatakan banyak pihak baik dalam kalangan penganalisis politik, pakar mahupun rakyat.
Ada pihak menyokong pemerintahan PH kerana melihat kesungguhan dalam memperbaiki kedududukan negara dan ada juga yang memihak parti pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pas selepas mencapai kata sepakat membentuk penyatuan ummah yang dilihat baik untuk Melayu dan Islam.
Namun, bagi penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Agus Yusof, beliau berpandangan kerajaan PH layak diberi peluang sehingga tempoh sepenggal bagi memperbaiki serta meletakkan haluan negara di landasan tepat.
Berikut merupakan kenyataan penuh ulasan beliau yang juga Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung setahun pemerintahan PH:
– Setahun yang lalu, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan PH untuk membawa pembaharuan kepada negara. Rakyat mahu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan, rasuah dihapuskan, urus tadbir negara diluruskan, reformasi institusi dilaksanakan, hak politik mereka dihormati, dan paling utama bebanan kos hidup menurun.
– Namun, menghampiri setahun rakyat kecewa. Kekalahan PH di tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah bukti kekecewaan tersebut. Rakyat menghantar mesej kepada kerajaan PH.
– Rakyat kecewa kerana perlahannya tindakan reformasi kerajaan, lambatnya tindakan kerajaan menyelesaikan skandal 1MDB, kecewa kerana harga komoditi sawit dan getah jatuh teruk, kecewa kerana menteri PH kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama mereka, kecewa pemansuhan cukai barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menurunkan kos hidup dan harga barang, kecewa kerana kerajaan PH mengubah kaedah bayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari janji asal manifesto mereka, dan kecewa kerana kurangnya peluang pekerjaan.
– Selain itu, rakyat juga kecewa kerana kerajaan PH meneruskan dasar kerajaan dahulu yang tidak sesuai seperti meneruskan harga mingguan minyak dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kecewa dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, dan paling utama kecewa dengan iltizam politik PH dalam melaksanakan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
– Reaksi PH mudah. Mereka meminta rakyat bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan PH. Kata mereka, kerajaan PH ini ibarat bayi yang baru setahun, takkanlah hendak mengharapkan bayi ini terus berlari. Kata mereka lagi, banyak hal perlu diselesaikan oleh kerajaan untuk memastikan segala janji dapat ditunaikan. Ini kerana PH mengambil alih pentadbiran yang sudah rosak. Bila sudah rosak, maka ini memakan masa untuk memperbetulkan semuanya.
– Tidak hanya itu, PH juga menyatakan faktor utama manifesto tidak dapat dilaksanakan adalah disebabkan negara ketiadaan wang. Ini kerana wang negara telah banyak dirembat oleh kerajaan kleptokrat terdahulu. Atas hujah ini, kerajaan PH meminta rakyat faham dan bertimbang rasa.
– Saya melihat kedua-dua parti PH dan parti oposisi mempunyai hujah masing-masing. Tetapi jika dikehendaki memilih parti mana pilihan saya, sekiranya pilihan raya diadakan (dalam tempoh terdekat ini), saya memilih untuk mengundi PH.
– Pertama, jikapun PH ada kelemahan, saya dapati pemimpin PH belum lagi terlibat dalam gejala rasuah atau penyelewengan kuasa yang besar. Bagi parti oposisi Pas dan BN pula, jikapun mereka telah menunjukkan penyatuan yang tentunya baik untuk Melayu dan Islam, saya hairan apabila masih ada lagi dalam kalangan pemimpin mereka yang mempertahankan 1MDB dan salah laku kerajaan dahulu.
– Kedua, walaupun kerajaan PH masih lagi mempunyai hala tuju yang kurang jelas dan ada dalam kalangan menterinya kurang kompeten, saya setuju dengan pandangan supaya kerajaan ini perlu diberikan peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Saya percaya hatta jika mempunyai lampu Aladdin sekalipun, kerajaan PH tidak boleh merubah Malaysia dalam masa setahun. Ini kerana saya melihat besarnya kerosakan Malaysia sebelum PRU-14 yang lalu.
– Ketiga, saya melihat kerajaan PH berwajah Malaysia, manakala Pas dan UMNO masih lagi terikat rapat dengan politik perkauman. Dalam dunia tanpa sempadan, saya percaya politik Malaysia perlu keluar dari politik sempit sebegini untuk maju ke depan.
– Keempat, biarpun PH masih perlahan dalam tindakannya untuk membawa perubahan institusi seperti yang dijanjikan, saya nampak kesungguhan kerajaan PH untuk membawa perubahan tersebut. Ini dapat dilihat dalam kes pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara yang saya yakin dapat membawa negara ke depan. Saya juga dapati kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah, meningkatkan kebebasan media, dan menghormati hak-hak politik rakyat.
– Kelima, saya melihat kerajaan PH masih tidak tergelincir dari landasan objektif dan misi mereka untuk menambah baik urus tadbir dan pengurusan pembangunan ekonomi negara. Pada hemat saya, setakat waktu ini, perlahan pun tidak mengapa asalkan manifesto yang dijanjikan dapat ditunaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
– Kita masih ada empat tahun lagi sebelum tempoh kerajaan PH berakhir. Dalam tempoh tersebut, masih banyak lagi perkembangan yang akan berlaku. Untuk mengekalkan pemerintahannya, kerajaan PH perlulah bertindak ke hadapan sesuai dengan aspirasi rakyat dan bukan lagi mencari alasan. Selesaikan tiga perkara: tunaikan manifesto PRU-14, selesaikan isu anak muda berkaitan dengan PTPTN dan peluang pekerjaan, dan turunkan kos hidup rakyat.
– Bagi parti oposisi pula, mereka juga mempunyai peluang untuk menang dalam PRU akan datang. Kekalkan perpaduan dalam pakatan oposisi, mantapkan kerjasama bersama dengan parti-parti bukan Melayu, dan tidak lagi mempertahankan perkara yang salah di mata rakyat.
– Semoganya, politik Malaysia ke depan adalah politik demokratik yang menjunjung hak-hak rakyat dan negara. – UTUSAN ONLINE











