KUALA LUMPUR 30 Mei – Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset menjangkakan semakan semula kadar faedah baru-baru ini dijangka menyokong perkembangan ekonomi pada masa akan datang dan membawa kepada pertumbuhan lebih kukuh bagi Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias berkata, ia sekali gus bakal memacu pertumbuhan prestasi kewangan bagi suku-suku akan datang berbanding suku pertama yang agak sederhana dengan merekodkan keuntungan bersih RM1.81 bilion berbanding RM1.87 bilion pada suku sama 2018.
Katanya, Maybank merekodkan perolehan sebanyak RM5.86 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 naik 0.7 peratus berikutan peningkatan pinjaman sebanyak 4.8 peratus.
“Keuntungan sebelum cukai mencapai RM2.45 bilion bagi suku ini berbanding dengan RM2.56 bilion pada tahun sebelumnya kerana kumpulan mengambil pendekatan konservatif dalam menetapkan peruntukan tambahan untuk pelanggan yang terjejas akibat persekitaran operasi yang mencabar.
“Di rantau ini, ASEAN terus menjadi pasaran penting bagi Kumpulan dengan populasi semakin berkembang dan pertumbuhan ekonomi stabil dan kita terus mengambil peluang sedia ada terutama sambil memacu agenda digital masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perolehan Maybank disokong oleh kenaikan 1.6 peratus dalam pendapatan berasaskan dana kepada RM4.31 bilion, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh penurunan marginal dalam pendapatan berasaskan fi bersih kepada RM1.55 bilion daripada RM1.58 bilion pada tahun sebelumnya.
Ia disebabkan oleh komisen yang lebih rendah, caj perkhidmatan dan yuran serta kerugian berasaskan harga pasaran dalam liabiliti kewangan.
Maybank menyaksikan pertumbuhan pinjaman yang mantap di pasaran utama dengan operasi Indonesia berkembang 11.3 peratus, pasaran antarabangsa lain pada 4.7 peratus, Malaysia 3.7 peratus dan Singapura 3.4 peratus menjadikan keseluruhan pinjaman kumpulan sebanyak 4.8 peratus pada suku pertama.
Perniagaan Perbankan Islam Maybank terus menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 96.9% kepada RM896.6 juta.
Maybank Islamic mengekalkan prestasi cemerlang dengan pembiayaan kasar meningkat 7.3 peratus kepada RM180 bilion.
Dalam pada itu, Etiqa Insurance & Takaful mencatatkan kenaikan 58.9 peratus dalam pendapatan operasi bersih kepada RM478.3 juta.
Maybank catat keuntungan bersih RM1.81b
Perolehan RM5.86 bilion berikutan peningkatan pinjaman 4.8%
Didorong kenaikan pendapatan berasaskan dana
Keuntungan sebelum cukai
RM2.45b
Maybank Islamic kekalkan prestasi cemerlang











