LONDON 13 Mei – Bekas pemain tengah Manchester City dan Barcelona Yaya Toure berkata dia masih mahu bermain dalam masa beberapa tahun lagi sekali gus menafikan dakwaan agennya yang mengumumkan persaraannya, minggu lalu.
Pemain berusia 35 tahun itu, tidak bermain sejak penamatan kontrak dengan kelab Greek, Olympiacos FC Disember tahun lalu.
Jumaat lalu, agen Toure, Dimitri Seluk membuat pengumuman pemain itu membuat keputusan untuk bersara.
“Terdapat banyak kekeliruan tentang masa depan saya sejak kebelakangan ini.
“Saya mahu jelaskan di sini bahawa saya masih cintakan bola sepak dan masih ingin bermain perlawanan kompetitif dalam tempoh beberapa tahun lagi,” kata Toure.
Bagaimanapun, pemain Ivory Coast itu tidak menyangkal dakwaan dia sedang mendalami ilmu kejurulatihan namun belum bersedia menjadi jurulatih sepenuh masa.
“Betul, saya sudah mula melakukan persediaan untuk menjadi jurulatih namun untuk jurulatih sepenuh masa belum ada lagi dalam fikiran saya lagi buat masa ini.
“Saya kini bersedia dan fokus untuk mengambil cabaran baru dalam bermain bola sepak dan jangan bimbang apabila tiba masa yang sesuai, saya sendiri akan membuat pengumuman mengenai persaraan itu,” jelasnya.
Pemain berusia 35 tahun itu ditugaskan mengulas perlawanan di Stadium Amex pada Ahad ketika melihat City merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris untuk musim kedua berturut-turut. – AGENSI











