LONDON 10 Mei – Maurizio Sarri mengakui Chelsea memerlukan nasib untuk melayakkan diri ke final Liga Europa apabila Kepa Arrizabalaga muncul hero The Blues ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 4-3 menerusi penentuan penalti.
Skuad kendalian Sarri akan bertemu Arsenal di pentas akhir kejohanan dekat Baku pada 29 Mei ini sekali gus mencipta sejarah apabila keempat pasukan yang layak ke final Liga Juara-Juara dan Liga Europa dari England.
Chelsea dan Frankfurt terikat 2-2 secara agregat memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti.
Rembatan pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta berjaya diselamatkan Kevin Trapp namun penjaga gol The Blues, Kepa menafikan tendangan Martin Hinteregger dan Goncalo Paciencia sebelum Eden Hazard menjaringkan gol kemenangan.
Itu merupakan detik terindah buat Kepa selepas dia dikritik hebat berikutan keenggannya untuk digantikan dengan Willy Caballero sewaktu bertemu Manchester City dalam aksi final Piala Liga yang menyaksikan Chelsea tewas pada penentuan penalti.
“Kami bermain dengan baik pada 45 pertama dan pada awal babak kedua namun selepas itu kami menghadapi masalah. Kami pasif ketika bertahan menyebabkan kami dibolosi, 10 minit yang cukup panik
“Pemain mengalami keletihan ketika masa tambahan, selepas 60 perlawanan kami bermain 120 minit menyebabkan keadaan amat sukar.
“Kami tidak bersedia untuk penalti sebab anda boleh tendang dengan baik ketika berlatih namun dalam perlawanan tekanan berbeza. Kami perlu menjalani pemulihan kerana kami mengalami kepenatan,” kata Sarri.
Dalam pada itu, khabar angin mengaitkan Hazard bakal berpindah ke Real Madrid kembali bertiup kencang malah ada yang mengatakan aksi final tersebut merupakan perlawanan terakhirnya bersama Chelsea.
“Saya hanya memikirkan untuk memenangi sesuatu bersama kelab ini. Jika ini adalah perlawanan terakhir, saya akan melakukan segala-galanya. Dalam fikiran, saya tidak tahu lagi,” kata Hazard. – AFP











