KUALA LUMPUR 7 Mei – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$103.4 bilion pada 30 April, 2019 daripada AS$103.5 bilion pada 15 April, 2019.
Bank pusat itu dalam kenyataan hari ini berkata, kedudukan rizab adalah memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.0 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$97.3 bilion (RM403.75 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa AS$1.1 bilion (RM4.56 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) AS$1.1 bilion (RM4.56 bilion), emas AS$1.6 bilion (RM6.64 bilion) dan lain-lain aset rizab AS$2.3 bilion (RM9.54 bilion).
Aset BNM terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain, termasuk SDR yang berjumlah RM421.87 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.28 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.12 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion) dan aset-aset lain (RM16.57 bilion).
Liabiliti pula terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab-rizab (RM133.11 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.79 bilion), deposit institusi kewangan (RM174.17 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM8.90 bilion), deposit-deposit lain (RM941.52 juta), kertas BNM (RM17.41 bilion), peruntukan SDR (RM7.62 bilion), dan liabiliti lain (RM2.25 bilion). – BERNAMA











