KUALA LUMPUR 31 Mei – Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS untuk dibuka lebih rendah hari ini berikutan dolar terus mengukuh walaupun landskap risiko global masih tidak menentu, kata peniaga.
Pada pukul 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1950/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1940 semasa ditutup pada Khamis.
Seorang peniaga berkata, langkah terbaru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam perang perdagangan dengan menyasarkan import Mexico menyebabkan pasaran negara sedang pesat membangun termasuk Malaysia berdepan tekanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Jepun semalam mencadangkan mata wang baharu bersandarkan emas kerana ia lebih stabil berbanding perdagangan mata wang semasa yang terdedah kepada manipulasi.
Beliau berkata, dengan menggunakan logam berharga itu ia boleh digunakan untuk menilai aktiviti eksport dan import dalam kalangan negara Asia Timur.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0388/0420 daripada 3.0368/0409 pada Khamis dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8391/8429 daripada 3.8182/8239.
Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2895/29491 daripada 5.2911/2991, tetapi susut berbanding euro kepada 4.6699/6753 daripada 4.6674/6738. – BERNAMA











