Rakyat Kedah tidak dapat lihat, rasai - Utusan Malaysia

Rakyat Kedah tidak dapat lihat, rasai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 10 Mei – Setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini, rakyat Kedah bukan sahaja belum boleh melihat, malah tidak dapat merasai pembangunan yang mampu mengubah dan meningkatkan tahap ekonomi penduduknya, khususnya golongan petani.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sehingga kini, rakyat negeri itu terus tertanya-tanya akan idea dan perubahan baharu yang sudah dibawa PH di Kedah setakat ini.

Dalam hal ini Pemuda UMNO negeri katanya, bersetuju dengan kenyataan Ketua Pemuda PH negeri, Mohd. Asmirul Anuar Aris baru-baru ini bahawa rakyat tidak mengetahui pembangunan dilakukan kerajaan Kedah kerana ia tidak kelihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“(Sedangkan) Beliau (Mohd. Asmirul) menyatakan antara yang telah dilaksanakan adalah program kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA), tetapi berdasarkan maklumat, program itu belum pun dilaksanakan dan cara penyampaian juga belum lengkap.

“Ini bermakna belum ada seorang pun yang telah menerima KIDA. Perancangan (semata-mata) bukanlah kejayaan sekiranya belum dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada golongan sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Syed Mohd. Johan Rizal berkata, begitu juga kenyataan Mohd. Asmirul yang menyatakan bahawa Tabung Khas Wanita Kedah akan menerima bantuan antara RM500 hingga RM1,000.

Katanya, namun beliau difahamkan bantuan itu hanyalah RM200 sahaja dengan pemilihan pula terdiri dalam kalangan penyokong PH sahaja.

“Maka sebab itu, kita tidak nampak apa yang kerajaan Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan exco buat selama tempoh setahun ini,” katanya.

Menurut beliau, mengambil masa setahun lamanya untuk kerajaan negeri dan Mukhriz berada hanya di peringkat perancangan pembangunan, jelas menunjukkan kelemahan barisan kepimpinannya.

Katanya, ini belum lagi memasuki fasa pelaksanaan.

“Walaupun ada pengumuman bernilai berbilion ringgit, namun kesannya tidak dirasai rakyat hari ini. Malah apa yang diumumkan itu entah bila akan membuahkan hasil atau mungkin terkandas di tengah jalan,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menasihatkan kerajaan PH agar memberi fokus kepada ‘poket dan perut’ rakyat daripada projek-projek besar yang lebih menguntungkan pihak-pihak tertentu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini