KUALA LUMPUR – Pusat reptilia terbesar dan tercanggih di dunia, Rimba Reptilia Zoo Negara kini sudah 96 peratus siap, kata Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr. Mat Naim Ramli.
Beliau berkata, Rimba Reptilia seluas 0.404 hektar yang sebelum ini dikenali sebagai House of Reptile itu bakal menempatkan 38 spesies reptilia iaitu pertambahan daripada 18 yang sedia ada sebelum ini.
“Kita jangka proses pembinaan akan selesai sepenuhnya sekitar Jun ini. Selepas selesai semua proses penyerahan bangunan, kita mungkin mengambil masa antara empat hingga enam bulan untuk menempatkan 38 spesies reptilia termasuk ular, kura-kura gergasi dan iguana ke pusat ini.
“Kita berharap proses tersebut berjalan lancar dan dapat dibuka pada musim cuti persekolahan Disember nanti,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Lebih menarik, pusat konservasi reptilia paling besar di dunia dari aspek keluasan, reka bentuk dan jumlah spesimen itu juga akan mempamerkan spesies reptilia albino untuk tatapan pengunjung termasuklah ular, kura-kura dan cicak albino.
“Kebanyakan spesies ini dalam jagaan Zoo Negara dan sesetengahnya diperoleh melalui kaedah pertukaran antara zoo di dalam dan luar negara seperti Zoo Singapura, Vietnam dan China,” katanya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











