PULAU PINANG 27 Mei – Sebuah premis di Jalan Perak di sini yang dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil aktiviti jualan langsung dan skim piramid tanpa lesen diserbu dalam operasi Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) hari ini.
Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, premis tersebut yang beroperasi sejak dua tahun lalu didapati menjual pelbagai produk kesihatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan menerusi aktiviti jualan langsung itu.
“Premis di Jalan Perak ini merupakan stokis dan ibu pejabat jualan produk berkenaan di Kuala Lumpur telah diserbu oleh KPDNHEP tahun lalu.
“Biarpun kes melibatkan ibu pejabat jualan berkenaan masih berjalan di mahkamah, namun kita dapati stokis di negeri ini masih aktif menjalankan kegiatan tanpa mendapatkan lesen yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Ridzuan, produk-produk kesihatan tersebut yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk kanser dikilangkan di Selangor.
Katanya, produk itu dijual mengikut pakej-pakej tertentu bermula daripada RM500 hingga RM3,000.
“Mereka juga dipercayai mengaitkan produk itu dengan jenama antarabangsa bagi memastikan pengguna percaya dengan produk yang ditawarkan,” katanya.
Tambah beliau, dalam operasi hari ini, kesemua produk kesihatan bernilai lebih RM200,000 dirampas manakala dua pekerja di premis itu diambil keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Jika sabit kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid 1993, pemilik premis boleh dikenakan denda RM1 juta untuk kali pertama kesalahan dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan kali kedua,” katanya. – UTUSAN ONLINE











