LIVERPOOL 6 Mei – Liverpool terpaksa berdepan tamparan hebat menjelang separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Anfield, Rabu ini selepas satu laporan mendedahkan Mohamed Salah terpaksa diketepikan untuk perlawanan tersebut setelah dia mengalami kecederaan kepala di Newcastle, kelmarin.
Berita tersebut menambah masalah kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang telahpun kehilangan Roberto Firmino kerana kecederaan otot, minggu lalu, tetapi bintang Brazil itu masih mampu di bawa masuk selaku pemain gantian di Camp Nou. Bagaimanapun, untuk aksi timbal balik kedua, Firmino disahkan tidak akan beraksi.
Jika Reds tanpa Salah, yang merupakan penjaring terbanyak kelab itu selepas meledakkan gol ke-26 musim ini di St James Park, bakal memberi tamparan besar kepada mereka.
Bintang antarabangsa Mesir itu mengalami masalah gegaran di kepala setelah berlaga dengan penjaga gol, Martin Dubravka dan dia terbaring kaku di atas padang untuk beberapa minit sewaktu menerima rawatan, sebelum diusung keluar sambil menutup wajah dengan tangannya.
Laporan daripada media Mesir mendakwa, bahawa penyerang itu bakal terlepas aksi separuh akhir kedua menentang Barcelona kerana perlu mematuhi protokol gegaran di kepala. Akhbar Yalla Koura melaporkan, jika perkhabaran itu benar, maka, ia memberi tamparan besar buat Liverpool untuk mengubah defisit 0-3 dalam timbal balik pertama. – AGENSI











