Pengadil wanita catat sejarah kendali Piala AFC - Utusan Malaysia

Pengadil wanita catat sejarah kendali Piala AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mei – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan, hari ini, buat kali pertama perlawanan bola sepak lelaki peringkat benua akan diadili oleh semua pengadil wanita.

Pengadil dari Jepun, Yoshimi Yamashita serta pembantunya, Makoto Bozono dan Naomi Teshirogi akan mengadili perlawanan Piala AFC antara kelab Myanmar, Yangon United dan pasukan dari Kemboja, Naga World di Stadium Thuwunna, esok.

“Perlawanan itu akan menjadi pertemuan pertama yang diadili tiga pengadil wanita dalam pertandingan kelab AFC, yang menyaksikan satu penanda aras baharu dalam pengadilan bola sepak Asia,” kata AFC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Piala AFC merupakan kejohanan kelas kedua dalam pertandingan bola sepak di Asia iaitu selepas Liga Juara-Juara AFC. Pengadil wanita sebelum ini hanya berperanan sebagai pembantu pengadil dalam perlawanan Piala AFC, dengan pengadil dari Australia, Sarah Ho dan Alysson Flynn menjadi yang pertama berbuat demikian pada 2014.

“Ini merupakan salah satu impian saya. Kami telah bekerja keras dan inilah hasilnya,” kata pengadil, Yamashita yang berpengalaman mengadili perlawanan Piala Dunia FIFA Perempuan Bawah 17 pada 2016 dan 2018 serta Piala Asia Wanita 2018.

Pembantu pengadil, Teshirogi berkata, pelantikannya bakal memberi inspirasi kepada wanita di Asia, manakala Bozono pula berpendapat, pengalaman akan membantu persediaannya untuk Piala Dunia FIFA Wanita, Jun ini, di mana ketiga-tiga mereka antara 12 pegawai dari AFC yang terpilih.

“Memang menerujakan untuk bekerja dengan Yoshimi dan Naomi. Mereka sangat berpengalaman dan sentiasa saling bantu membantu. Saya akan banyak belajar daripada mereka,” kata Bozono. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini