KUALA LUMPUR 8 Mei – Pendapatan bank-bank di Malaysia akan terjejas berikutan pengumuman penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd., Chan Jit Hoong berkata, impak pemotongan OPR ke atas bank bergantung kepada komposisi pinjaman kadar tetap dan kadar berubah, kadar akaun semasa, akaun simpanan (CASA) dan deposit lain, selain nisbah pendapatan bukan faedah dan peratusan pendedahan kepada pasaran luar negara.
“Kesan terbesar adalah bank-bank yang mempunyai campuran pinjaman kadar berubah, CASA, nisbah pendapatan bukan faedah yang rendah dan pendedahan peratusan yang rendah kepada pasaran luar negara.
“Daripada analisis kami, Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance) dan BIMB Holdings Bhd. (BIMB) akan mengalami kesan paling banyak dalam persekitaran kadar faedah yang rendah manakala Affin Bank Bhd. dan AMMB Holdings Bhd. paling kurang terjejas,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
BNM menurunkan OPR pada tiga peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan semalam. Kali terakhir BNM menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus pada Januari 2018.
BNM dalam kenyataannya berkata, kadar koridor terendah dan tertinggi bagi OPR, masing-masing pada 2.75 peratus dan 3.25 peratus.
Menurut BNM, ekonomi global terus berkembang sederhana sementara pertumbuhan lebih baik berbanding jangkaan dicatatkan di beberapa ekonomi utama pada suku pertama.
Sementara itu, Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Imran Yassin Yusof dalam nota penyelidikannya berkata, pihaknya menjangkakan pendapatan bagi bank-bank akan terjejas disebabkan tekanan untuk tempoh jangka masa pendek terhadap margin kadar faedah.
Bagaimanapun, menurut beliau, kesannya tidak begitu signifikan.
“Secara purata MIDF menjangkakan penurunan sekitar tiga peratus dalam pendapatan bank yang ditinjau berbanding unjuran sebelum ini. Bank dengan kadar pinjaman berubah-ubah yang lebih tinggi adalah paling terkesan dengan pengurangan OPR,” katanya.
“Kami percaya BIMB dan Alliance menyaksikan penurunan lebih tinggi ke atas pendapatan mereka kerana pinjaman berubah masing-masing merangkumi 91 peratus dan 89.9 peratus daripada buku pinjaman masing-masing.
“Sementara itu, kami menjangkakan impak yang sedikit bagi Maybank kerana ia mempunyai pinjaman di pelbagai geografi dan Affin disebabkan oleh pendedahan yang lebih rendah dalam pinjaman kadar berubah,” katanya.











