Nikmati erti populariti - Utusan Malaysia

Nikmati erti populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANTAS balistik, populariti wanita ini tiba-tiba memuncak naik gara-gara lakonannya dari drama Nur 2. Nama Siti Azar Ameerah Azmi atau Azar berjaya meletakkan namanya sebaris pelakon popular sedia ada kesan daripada lakonan menerusi naskhah berkenaan.

Tawaran berlakon juga semakin laju menyinggah hinggakan jadual seninya padat membawa ke awal tahun depan. Betapa laku anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini apabila semakin mendapat kepercayaan daripada pihak stesen televisyen dan syarikat produksi tempatan.

Biarpun dikenali menerusi watak hitam, baginya itu bukan persoalan utama di sini. Pokok pangkalnya, dia berjaya untuk meyakinkan orang ramai tentang kemampuan bakat lakonannya yang sebenar. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Maklumlah selama tujuh tahun pembabitannya secara serius dalam industri hiburan, tertanya-tanya juga dalam hati bilakah masanya itu tiba. Syukurlah apa yang diimpikan itu akhirnya menjelma di depan mata. 

“Ini bukan soal gila glamor atau mengejar populariti tetapi ini soal kredibiliti apabila orang mula menyedari kehadiran kita dalam industri lakonan. Waktu itu orang boleh menghargai apa yang kita lakukan.

 

“Soal cepat popular atau lambat, saya tidak pernah ralat atau mempertikaikan perkara tersebut. Kalau sudah tercatat rezekinya sebegitu, saya terima dengan berlapang dada,” kata Azar.

Pun begitu, pelakon drama Fatimah Gila ini enggan membanding-bandingkan rezeki yang diraih pada waktu ini dengan pelakon seangkatannya sewaktu bertanding dalam sebuah pertandingan bakat pada 2010.

Baginya, pengacara Neelofa, Izara Aishah, Anzalna Nasir, Syatilla Melvin dan Ramona Zamzam bertuah kerana mendapat tempat dalam industri terlebih dahulu daripadanya. Mereka juga berjaya meyakinkan kepada semua tentang bakat dimiliki.

Sedangkan dirinya memerlukan masa yang agak panjang untuk lebih dikenali dalam industri hiburan. Atas sebab itu, Azar memilih untuk tidak  mempertikaikan soal berkenaan.

“Kalau nak tahu, saya sendiri tidak pernah mengejar populariti. Langsung tidak terfikir pun. Jauh sekali nak menggunakan gosip murahan bagi menarik perhatian ramai. Saya bekerja dalam bidang lakonan ini kerana minat yang mendalam.

“Tolak tepi soal bayaran yang mahal untuk setiap projek yang dijayakan. Selagi tawaran itu dapat memuaskan hati sendiri, ia sudah mencukupi buat diri saya,” katanya tanpa berselindung.

Drama Cinta Fatamorgana arahan Heykal Hanifah menjadi titik permulaan namanya disebut-sebut peminat drama tempatan selepas ditayangkan pada tahun lalu. Nama Azar juga menjadi sebutan selepas drama Pujaan Hati Kanda ditayangkan tidak lama kemudian.

Belum berakhir

ADA yang membuat andaian kerjaya lakonan Azar bakal statik apabila sudah berhabis-habisan mempamerkan watak antagonis dalam drama Nur 2. Ada juga yang beranggapan tiada lagi yang istimewa bakal dipamerkan wanita itu dalam projek drama seterusnya.

Bagaimanapun semua itu disangkal oleh anak ketiga daripada lima beradik ini. Dia yakin bahawa setiap lakonan yang disampaikan mempunyai momentum tersendiri tanpa dibayangi watak-watak sebelumnya.

“Orang kata watak pelacur adalah paling tinggi untuk dijayakan bagi kategori antagonis, tapi sebenarnya tidak. Ada banyak lagi watak antagonis dalam dunia ini yang boleh kita warnakan dengan baik.

“Yang penting di sini adalah kejujuran untuk menjayakan watak-watak berkenaan selain keberanian untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan selepas itu,” ujarnya.

Diri sendiri

DALAM mendepani arus populariti, Azar memilih untuk menjadi diri sendiri berbanding berselindung di sebalik wajah orang lain. Karektor ‘gila-gila’ dilihat paling sinonim dan menggambarkan dirinya dalam urusan harian.

Meskipun ada hari-hari tertentu, mood pasti berubah-ubah namun seboleh-bolehnya dia tidak akan mempamerkan sisi berkenaan kepada orang sekeliling. Dia tidak mahu mencetuskan rasa kurang enak berkenaan dalam pergaulan hariannya.

“Kalau ada masalah sekalipun, saya bukan jenis yang suka tunjuk kepada orang luar sebaliknya saya simpan saja. Tak perlulah kita menyusahkan orang sekeliling dengan apa yang sedang kita alami.

“Gembira sahaja kerana aura itu akan membikin orang sekeliling lebih senang untuk bersama dengan kita,” kata pelakon Suri Hati Mr. Pilot ini lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini