SAUDARA PENGARANG,
PADA Hari Pekerja 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengeluarkan kenyataan bahawa membuat kerja kotor, berbahaya dan sukar (3D) adalah lebih baik daripada menganggur.
Sungguh ‘ikhlas’ nasihat ini, yang keluar dari mulut seorang Perdana Menteri ketika kebanyakan golongan pekerja membuat tuntutan supaya gaji mereka dinaikkan ekoran peningkatan kos sara hidup.
Perhatikanlah bahawa ramai rakyat Malaysia yang memenuhi kerja 3D di Singapura disebabkan menerima gaji tinggi. Ramai pula graduan muda sanggup ke New Zealand untuk memetik buah epal kerana gaji di sana lebih lumayan.
Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menyokong sekiranya dicadangkan gaji sektor pekerjaan 3D di Malaysia ditingkatkan untuk menarik minat pekerja tempatan? Masalahnya dalam aspek ini, kerajaan PH tidak mempercayai kuasa pasaran. Jika kita menyekat kemasukan buruh asing, lebih susah untuk majikan memenuhi kekosongan pekerja 3D dan secara automatik gaji akan naik.
Namun kerajaan mengamalkan dasar buruh murah dan kadar upah dimanipulasikan untuk menjadi lebih rendah daripada sepatutnya. Pihak majikan tentulah mahu buruh murah dan mereka suka jikalau manfaat yang diterima pekerja serba kurang dan perbelanjaan majikan direndahkan. Kaedah mencapai hasrat ini senang sahaja – membanjirkan pasaran dengan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.
Pada kelazimannya, perbincangan town hall yang diadakan oleh Kementerian Sumber Manusia didominasikan oleh pihak majikan yang menuntut supaya bilangan pekerja asing ditingkatkan dan meminta supaya kerajaan mempermudahkan urusan membawa masuk pekerja dari luar negara.
Kenapa kerajaan PH tidak mengumumkan sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini bahawa “sekarang bos patut bayar gaji yang lebih tinggi jika mahu pekerja 3D?”
Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia dalam laporan tahunan 2018 menyatakan pandangan sama, bahawa pekerja di Malaysia menerima gaji kurang daripada tahap produktiviti mereka.
Apa pula respons kerajaan PH? Tiada langsung! Ingatlah ada dalam kalangan kepemimpinan kerajaan sekarang enggan memperkenalkan Akta Gaji Minimum semasa menjadi Perdana Menteri pada 22 tahun yang pertama dan sekarang dengan amat resah dan berat hati meningkatkan gaji minimum kepada kadar yang disyorkan pihak majikan iaitu RM1,050 sebulan. Kadar ini jauh berkurangan daripada yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Kerajaan PH juga tidak mengendahkan langsung cadangan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji. Bukankah ini kelakuan yang berbahaya dan kotor terhadap golongan pekerja? Mengapa pula kerajaan pada Hari Pekerja tahun ini tidak menuntut supaya majikan meningkatkan kadar gaji minimum dan kurangkan sikit untung lumayan yang diterima mereka?
Apa yang boleh kita harapkan daripada kerajaan PH jika pemimpin utamanya pada 1982 pernah menyindir kesatuan sekerja sebagai organisasi yang tidak berguna? Beliau bertindak menyekat hak kesatuan sekerja. Beliau memastikan bahawa pekerja kilang elektronik tidak boleh menubuhkan kesatuan sekerja kebangsaan. Menurut hasrat pelabur Jepun dan Korea Selatan, hanya kesatuan sekerja dalaman kilang dibenarkan. Hanya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009, Kabinet membenarkan pekerja kilang elektronik menubuhkan kesatuan sekerja.
Pada Disember lalu, ada dalam kalangan kepemimpinan kerajaan PH sekali lagi ‘mengancam’ kesatuan pekerja dengan menyatakan mereka perlu menjadi ‘jambatan’ antara pekerja dan majikan serta tidak lagi berdemonstrasi untuk menuntut hak pekerja. Kenyataan ini masih dibuat walaupun undang-undang Malaysia sudah pun direka bagi menyukarkan pekerja untuk melancarkan mogok.
Pada masa ini, keahlian kesatuan sekerja hanya enam peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja. Kenapa pula kerajaan PH sempena Hari Pekerja tahun ini tidak mengumumkan bahawa kesatuan sekerja itu mustahak dan patut dibenarkan untuk didaftarkan secara automatik supaya dapat merundingkan persetujuan yang lebih baik bagi pihak golongan pekerja?
S. ARUTCHELVAN
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM)











